Powered By Blogger

19 May 2011

kehebatan bukan pada individu

1424 tahun dahulu, Rasulullah melantik Zaid Bin Harithah untuk mengepalai operasi ketenteraan ke atas Rom di Negeri Syam. Andai Zaid gugur syahid, Jaafar Bin Abu Thalib akan menggantinya. Kemudian, tatakala Jaafar gugur dengan tangan yang sudah kudung dan lebih 70 tetakan pedang, Abdullah Ibn Rawahah pula bangkit mengepalai tentera Muslimin. Wasiat Rasulullah dengan riwayat yang sahih hanya terhenti di situ. Tidak dinamakan, siapakah yang akan menggantikan Abdullah Ibn Rawahah.


Maka, Khalid Al-Walid diangkat menjadi panglima. Pedang Allah yang terhunus itu memporak-perandakan tentera Rom. Strategis Khalid dan setianya tentera menjadi ramuan hebat. Perang Mu'tah dinamakan Ghazwah meski ianya tidak disertai oleh Rasulullah.


Sahabat-sahabat, anak asuhan para Syuhada', sahabat Rasulullah sallahu'alaihiwasallam.

Proses memilih pemimpin adalah salah satu proses dalam usaha membangunkan agama. Justeru, Allah telah meletakkan prasyarat yang mesti kita penuhi demi menjadikan usaha kita itu dinilai baik oleh Allah. Saranan membela agama disertakan dengan syarat supaya jangan berpecah-belah. Sematkanlah ayat ini dalam dada kalian saat melayang pena, mahupun melunak lidah membela calon pilihan hati masing-masing.

"Hendaklah kamu dirikan agama dan janganlah kamu berpecah-pecah dalam agama" (26:13)

Bersatu-padu lebih baik dari mencari yang terbaik! Berpecah-belah itu lebih buruk dari memilih yang paling buruk.

Ingatlah jua, bahawa rosaknya pemimpin adalah kerana taksubnya pengikut. Rosaknya pengikut adalah kerana takjubnya pemimpin. Pemimpin dan yang dipimpin adalah sebuah bangunan. Kuat dan menguatkan serta kukuh lagi mengukuhkan. Kesalahan pemimpin adalah kerana pengikut dan kesalahan pengikut adalah kerana pemimpin. Begitulah sebaliknya.

Jangan takut untuk tersilap memilih pemimpin, kerana kita selamanya adalah penasihat mereka. Akan tetapi, takutilah satu bala yang akan menimpa, andai kerana tepatnya pilihan kita, menjadikan kita lupa untuk menasihati mereka. Menjauhkan diri dari pemimpin dan mengambil sikap berdiam diri dari menegur mahupun menasihati akan menjadi cara terbaik untuk 'membunuh' pemimpin dan kepemimpinannya.

"Sesungguhnya agama itu adalah [proses] nasihat."Hadith

"Kritiklah seperti jurulatih bola sepak, krtikannya tajam dan membina pasukan. Bukannya seperti penyokong bola sepak, kritikannya tajam berserta sepak terajang yang meruntuhkan."

Tidak ada pemimpin yang kuat di bumi ini bahkan pemimpinlah yang paling lemah. Dek kerana kekuatan sebenar mereka berada pada tangan-tangan kita yang memilih mereka. Janganlah tangan-tangan kita yang telah menjulang mereka pada hari ini disorokkan saat mereka menghulurkan tangan memerlukan bantuan kita di depan hari.

Berjanjilah kita pada hari ini untuk tegar bak hawariyyun pembantu Nabi IsaAlayhissalam. Bukannya persis Bani Israel yang pemalas lagi menyakitkan hati Nabi Musa Alayhissalam. Mereka hanya duduk dan bersenang-lenang saat Musa dan Harun membanting tulang berjihad dan mengajak manusia beriman kepada Allah.

Teman-teman sekalian, kitalah Abu Bakar untuk pemimpian kita. Kitalah Umar, Uthman dan Ali. Kitalah juga Khadijah untuk mereka. Kitalah juga Aisyah dan Fatimah.

Sesungguhnya Salahuddin bukanlah agung bersendirian. Al-Fateh tidak akan gagah berseorangan. Bahkan mereka adalah hasil dari generasi yang penuh dengan militansi dan kesatuan.

~We Unite For Islam~

No comments: